Tanggal 1 Muharram 1434 Hijrah menjadi saksi suatu lagi episod
kekejaman regim Zionis dalam usaha meluaskan jajahan mereka demi merealisasikan
gelaran bangsa termulia. Dentuman bom berselang seli dengan tangisan
kanak-kanak menyelubungi ‘penjara tersebar di dunia’ ini meskipun negara umat
Islam disekelilingnya ceria menyambut awal Muharram. Malah seluruh dunia
menjadi saksi episod penjajahan dan kezaliman yang bermula sejak termeterainya
Perjanjian Balfour November 1917 sehingga ke hari ini. Peperangan yang
dimulakan oleh regim Zionis dengan menjadikan slogan “Pillar of Defense”
sebagai alat untuk mengaburi masyarakat dunia. Terbunuhnya Ahmad Said Khalil
al-Ja’bari terus menaikkan semangat jihad mujahidin Palestin untuk
mempertahankan tanah suci Baitulmaqdis.
Sekalung penghargaan kita panjangkan kepada kerajaan Mesir
dibawah pimpinan Dr. Muhammad Mursi yang berusaha dengan bersungguh-sungguh
membantu saudara seagama yang ditindas dengan pembukaan sempadan Raffah sedikit
sebanyak memberi nafas baru kepada Ghazzah untuk mendapatkan bantuan
kemanusiaan, perubatan dan lain-lain. Mesir ‘baharu’ bukan sahaja menarik
perhatian dunia dengan lantang mengkritik Israel malah turut menjadi perantara
kepada gencatan senjata antara Israel-Palestin tanggal 8 Muharram dan disokong
oleh Turki, Qatar dan lain-lain.
Selanjutnya, kita merakamkan ucapan tahniah kepada rakyat Palestin dalam
penantian keputusan lebih 65 tahun oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang telah memberikan status negara pemerhati bukan
anggota kepada Palestin. Kemenangan diplomatik yang ditunjukkan oleh 138 negara
mengundi memihak kepada Palestin untuk menaik taraf status, dengan itu
memungkin Palestin juga boleh terlibat dengan pelbagai forum dalam PBB dan di
dalam Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Siswa-siswi pendidik tidak wajar berdiam diri dengan memekakkan
telinga dan memejamkan mata akan isu-isu umat Islam yang berlaku di seluruh
dunia meskipun kita hari ini dianugerahkan Allah pelbagai kenikmatan dari sudut
pendidikan, peruntukan kewangan (elaun) dan sebagainya. Rasulullah s.a.w
bersabda, "Barangsiapa yang tidak mengambil tahu hal orang Islam yang
lain, maka bukan dari kalangan kami".
Oleh yang demikian, wajarlah semua warga kampus IPG Kampus Pendidikan Islam
mengambil cakna akan setiap perkembangan di Gaza, Syria, Arakan, Mindanau dan
lain-lain. Juga tidak dilupakan juga saudara kita paling dekat di Fattani Dar
as-Salam (Palestin Nusantara) yang saban kali mengalami episod penindasan dan
pembunuhan namun mendapat akses berita dan maklumat yang terhad. Akhir sekali,
saya menyeru semua organisasi mahasiswa di IPG KPI bersama-sama memberi
kesedaran kepada masyarakat kampus untuk menjadikan isu ini sentiasa dijadikan
isu bersama yang tidak hanya berlaku secara bermusim.