Followers

Showing posts with label Presiden MTEN. Show all posts
Showing posts with label Presiden MTEN. Show all posts

Friday, 12 July 2013

PERUTUSAN PRESIDEN MTEN 13/14 SEMPENA RAMADAN 1434H




Alhamdulillah segala puji bagi Allah, betapa besarnya rahmat Ilahi apabila kita dipanjangkan umur sehingga bertemu dengan Ramadhan pada tahun ini. Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Antara Ramadhan ke Ramadhan adalah pengampunan Allah.” 

Di kesempatan ini saya menyeru kepada semua mahasiswa pendidik IPG Kampus Pendidikan Islam terutamanya dan seluruh mahasiswa pendidik IPG lain agar menjadikan Ramadhan ini sebagai bulan menambahkan amalan seharian sebagai seorang bakal guru, hidupkan tadarus al-Qur’an dalam kalangan ahli usrah, dalami ilmu-ilmu berkaitan hukum-hakam puasa dan tunjuklah contoh teladan terbaik seorang pendidik yang bermanhaj rabbani dalam setiap urusannya. Hidupkan majlis berbuka secara berjemaah dalam usrah mahupun kumpulan kecil, tarawikh dan tazkirah di mana-mana ruang yang ada, ambillah kesempatan bersedekah terutamanya memberi makan kepada orang yang berpuasa, kerana Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (menyediakan makanan berbuka puasa) maka ia memperolehi pahala sebagaimana orang yang berpuasa, dan tidak kurang sedikitpun pahala puasanya.”
Buat seluruh warga mahasiswa pendidik IPG KPI: 

1. Ramadan adalah bulan kemuliaan justeru muliakan diri kita sebagai pendidik yang mempunyai iman yang mantap, akhlak yang mulia dan ilmu yang mendalam.

2. Ramadan adalah bulan kebajikan justeru penuhilah tuntutan rukun usrah takaful untuk sentiasa menyantuni sesama ahli usrah mahupun sahabat handai, para pensyarah dan masyarakat sekitar. Banyakkan menganjur majlis berbuka bersama sebagai aset sedekah kita pada bulan yang mulia ini.

3. Ramadan adalah bulan yang penuh barakah lantas elakkan diri kita daripada terjebak ke dalam kancah maksiat dan penuhilah hari-hari Ramadan dengan pesta ibadah bukannya dipenuhi dengan juadah melampau.

4. Ramadan adalan bulan keampunan dan penyucian dosa-dosa lampau justeru banyakan istighfar dan munajat, burulah lailatulqadar agar diri kita benar-benar bersedia untuk menggalas amanah besar sebagai pendidik anak bangsa.

5. Ramadhan adalah bulan memburu piala Taqwa. Justeru itu, lakukanlah segala perintah Allah dan jauhilah segala laranganNya. Piala Taqwa adalah harta yang paling mahal dan berkesan untuk diri seorang pendidik dalam membina umat bahkan senjata utama menangkis tohmahan musuh-musuh Islam. Ingatlah, meraih piala taqwa adalah misi utama kita pada bulan penuh keberkatan ini. Moga takwa menjadi pakaian kita selepas sebulan menjalani “tamrin” dalam bulan ini.



Akhir kalam, jangan dilupai dalam kesenangan kita manjalani ibadah puasa di Malaysia masih ramai saudara seagama kita di Palestin, Afghanistan, Syria, Mesir dan nagara Islam lain yang menempuhnya dalam ketakutan dan serba kekurangan. Jangan sekali-kali abaikan doa untuk mereka lebih-lebih lagi sepanjang Ramadan ini. Tempuhlah bulan Ramadan ini dengan penuh keimanan dan keinsafan demi mecapai objektif utama taqwa Ilahi. Mahasiswa pendidik yang bertaqwa, bersifat rabbani dan berkomitmen tinggi adalah KPI kepada lahirnya anak bangsa bersahsiah mulia. 




“Merealisasi Murabbi Rabbani”


Muhamad Hafizuddin Bin Ramlee

Presiden Majlis Tarbiyah Nuqaba’ 13/14 (MTEN)
IPG Kampus Pendidikan Islam






Monday, 1 August 2011

Perutusan Ramadhan

PERUTUSAN PRESIDEN MAJLIS TARBIYAH NUQABA’
SEMPENA RAMADHAN 1432H

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله واله وأصحابه

Assalamualaikum w.b.t
AlhamduliLlah, akhirnya kita telah diizinkan ALlah untuk berada dalam bulan Ramadhan 1432H pada kali ini. Ada diantara kita yang sempat melalui Ramadhan pada tahun lepas tetapi tidak sempat melaluinya pada tahun ini. Syukur kerana kita masih diberikan kesempatan dan peluang keemasan ini untuk menambahkan amal ibadat kita dan meningkatkan ketaqwaan kita bersama.
MTEN menyeru semua naqib/naqibat khususnya dan semua warga IPG Kampus Pendidikan Islam untuk sama-sama mempertingkatkan kualiti dan kuantiti ibadah kita di dalam bulan yang penuh barakah dan maghfirah ini. ALlah telah menjanjikan ganjaran yang besar bagi orang yang berpuasa dengan erti kata yang sebenarnya.
Marilah kita sama-sama berusaha untuk mencapai matlamat akhir kita iaitu TAQWA kepada ALlah.

Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Sebagai pemuda-pemudi yang akan bertebaran menyebarkan ilmu, kita mestilah mempersiapkan diri terlebih dahulu kerana masyarakat amat ‘mendahagakan’ guru-guru yang mampu memberi kesan positif kepada msyarakat. Salam Ramadhan.    

Salam ukhuwah dan mahabbah dari kami seluruh pimpinan Majlis Tarbiyah Nuqaba’ 2011/2012. Sekian.


MUHAMMAD IZZUL ISLAM BIN HASNI

Monday, 27 June 2011

PERUTUSAN PRESIDEN MAJLIS TARBIYAH NUQABA’ SEMPENA MPPB



بسم الله الرحمن الرحيم
الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله واله وأصحابه

Assalamualaikum w.b.t
Tanggal 20 Jun 2011 merupakan tarikh kemasukan pelajar baru ke Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam (IPG-KPI) pada sesi kali ini. Walaupun beberapa kali nama institut ini bertukar daripada Maktab Perguruan Islam (MPI), Institut Perguruan Islam Selangor (IPIS) dan lain-lain namun ianya tetap sama iaitu sebuah kampus yang bakal melahirkan guru-guru yang akan bertaburan di seluruh pelusuk negara menyebarkan ilmu.
Pertamanya, saya mewakili barisan pimpinan Majlis Tarbiyah Nuqaba’, para nuqaba’ dan naqibat mengucapkan sekalung tahniah dan selamat datang kepada adik-adik baru ambilan Jun 2011 ini. Kami sangat mengalu-alukan kedatangan adik-adik semua ke bidang perguruan yang serba mencabar ini. Sesungguhnya anda semua adalah golongan terpilih untuk berada di arena pendidikan ini daripada puluhan ribuan insan lain yang memohon dan ditemu duga. Oleh itu seharusnya adik-adik bersyukur serta menggunakan peluang terbaik ini untuk mempersiapkan diri menjadi pendidik yang benar-benar mampu mengubah suasana haru biru masyarakat sekarang  ke arah yang lebih baik.
Perjalanan sebagai seorang manusia apatah lagi bakal bergelar ‘agen perubah masyarakat’ memerlukan kecekalan dan ketabahan yang tinggi kerana kita akan berhadapan dengan keadaan masyarakat yang semakin ranap dengan kebejatan sosial dan krisis identiti yang semakin merumitkan. Persiapan ‘senjata’ rohani dan intelek dan lain-lain perlulah dipersiapkan dengan menggunakan masa dan ruang yang ada untuk belajar serta menyumbang sesuatu kebaikan kepada agama, bangsa dan negara. 
Buat pengetahuan adik-adik, saya dan sahabat-sahabat lain dalam Majlis Tarbiyah Nuqaba’ (MTEN) sentiasa mendepakan tangan untuk membantu adik-adik dalam pelbagai perkara terutamanya dari aspek kebajikan dan akademik melalui institusi usrah yang direncanakan di kampus ini. InsyaAllah kami akan menyusun program-program yang bermanfaat kepada adik-adik sekalian bagi mencapai visi dan misi institut tercinta ini antaranya untuk melahirkan guru yang berilmu, berketrampilan, berakhlak mulia, berdaya saing dan berjiwa patriotik.
Semoga kehadiran adik-adik sekalian ke kampus ini akan terus menceriakan dan menyuburkan biah Islamiah di kampus ini dengan roh tarbiyah dan dakwah meskipun kita terdiri daripada latar belakang dan pengkhususan yang berbeza. Semoga kita dapat bergandingan bahu dalam memelihara suasana keislaman di kampus ‘KITA’ ini. InsyaAllah.
Salam ukhuwah dan mahabbah dari kami seluruh pimpinan Majlis Tarbiyah Nuqaba’ 2011/2012. Sekian.
MUHAMMAD IZZUL ISLAM BIN HASNI

Tuesday, 17 May 2011

Buat yang bakal bergelar guru






SABAN tahun, tanggal 16 Mei merupakan tarikh istimewa yang cukup bermakna bagi insan bergelar ‘guru’. Hampir 360,000 golongan pendidik seluruh negara diraikan sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini. Tarikh 16 Mei dipilih kerana pada tarikh yang sama dalam tahun yang sama 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council ) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report Of The Education Commitee) sebagai dasar pelajaran negara kita. Dokumen tersebut dikenali sebagai Laporan Razak, telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak hari itu (16 Mei 1956).

Kemeriahan Hari Guru ini turut dirasai oleh bakal-bakal guru terutamanya di Institut Pendidikan Guru (IPG) seluruh negara. Ucapan-ucapan ‘Selamat Hari Guru’ dalam bentuk sistem pesanan ringkas (SMS) dikirim melangkaui daerah dan sempadan negeri walaupun pada asasnya kita masih belum menamatkan pengajian apatah lagi disahkan jawatan. Bagi guru-guru di sekolah pastinya banyak menerima hadiah-hadiah daripada anak murid sebagai salah satu tanda penghargaan kepada mereka.

Pada masa yang sama, kita seharusnya menyedari hakikat bahawa kitalah generasi pendidik yang bakal merencanakan matlamat pendidikan itu sendiri iaitu untuk melahirkan insan yang baik (to produce a good man) seperti yang diungkapkan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya Islam and Secularism, “The aim of education in Islam is therefore to produce a goodman”. Guru juga dianggap sebagai seorang ‘jurutera manusia’(the engineer of human beings) yang mampu menjadi agen perubahan manusia dan seterusnya menjanakan perubahan kepada masyarakat dan negara ke arah yang lebih baik.

Tidak cukup dengan itu, para bakal pendidik khususnya perlu mempersiapkan diri dengan rapi bagi mengilhamkan kejayaan dan mencipta masa depan negara dan agama yang cemerlang. Persiapan yang utama perlu ada kepada guru ialah bersedia untuk menambah ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang bagi mengatur langkah bagi membangunkan akal, hati, jasmani, emosi dan sosial yang sememangnya sudah tercipta dalam diri setiap manusia.


Seorang pendidik juga seharusnya membersihkan jiwanya terlebih dahulu sebelum membimbing manusia kepada Tuhannya. Menerusi pembersihan jiwa, akan lahirlah pendidik-pendidik yang berakhlak dengan akhlak Islam yang unggul dan menjadi penyuluh kepada murid-murid untuk dididik dan dibimbing oleh murabbi. Usahlah kita menjadi umpama ‘ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus’ sekiranya kita masih belum mampu berjalan dengan betul.
Sesungguhnya, cabaran sistem pendidikan semasa dan gejala sosial yang kian meruncing di kalangan pelajar memerlukan kesediaan fikrah yang jelas, pemantapan rohani yang kuat dan kesabaran yang tinggi di kalangan pendidik. Di tangan kitalah, tergalas amanah dan tanggungjawab untuk mendidik pelajar yang suatu ketika nanti akan berada di gelanggang masyarakat. Salam muhasabah.


FIKRAH MEMBINA SAHSIAH MURABBI
Presiden Majlis Tarbiyah Nuqaba
IPG Kampus Pendidikan Islam