Followers

Sunday 22 May 2011

Exam Vs Cuti

Bismillahirahmanirahim.

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah. Bersyukur kepada Allah Taala yang terus meminjamkan nyawa buat hambaNya yang sentiasa khilaf ini. Jom sama-sama bersyukur dan mengucapkan hamdalah!


Cepat sungguh masa berlalu. Kita sudah berada di penghujung semester dan insya Allah akan memulakan semester baru sekembalinya ke institut nanti. Pelatih guru di IPG KPI sekarang berkemungkinan mengalami dua situasi :





Pertama :





Kedua :







Agak-agaknya anda di situasi mana? Apa pun, utamakanlah yang lebih utama. Merindui kampung halaman itu sunnah. Belajar itu pula satu kewajipan. Dalam kita asyik terkenang-kenang ibu ayah di rumah, jangan lupa tumpukan perhatian pada peperiksaan. Ingatlah harapan mereka di rumah. Jangan lupa, telefon mereka dan mintalah supaya mereka sentiasa mendoakan kita dalam menghadapi peperiksaan ini. Kita sendiri pula jangan lupa solat hajat dan berdoa mohon dipermudahkan oleh Allah.





Insya Allah..sempena cuti yang bakal tiba. Pihak Majlis Tarbiyah Nuqaba' ingin menitipkan beberapa pesanan buat sahabat-sahabat yang dikasihi Allah sekalian yang dipetik daripada artikel ukhtie Nusaibah Mutmainnah Mohamad Azmi.

Begitu pantas masa berlalu, sedar tidak sedar kita semakin menghampiri pertengahan tahun 2011. Rata-ratanya, ramai antara kita semakin dekat dengan cuti semester, ada juga yang cuti semester mereka telah lama bermula. Lazimnya, cuti adalah antara perkara yang paling dinanti-nantikan oleh mahasiswa. Saat bahagia musim cuti sering dimanfaatkan untuk membalas dendam ke atas pengorbanan yang dilakukan di musim kuliah dan peperiksaan. Sering kali kita dengar masa cutilah mahasiswa akan qada’ tidur, qada’ makan, qada main dan sebagainya. Cuti terasa begitu indah kerana masa dapat diperlakukan sebebasnya.
Namun, seharusnya anugerah masa lapang ini dimanfaatkan dengan cara yang berbeza oleh setiap individu yang telah dididik dalam proses tarbiyah. Masa cuti yang dilalui dimanfaatkan dengan aktiviti-aktiviti yang mempu meningkatkan kualiti diri. Biarpun suasana yang dilalui akan berbeza, biarpun di waktu cuti, kita berseorangan dan tidak lagi bersama sahabat-sahabat atau sahibah-sahibah untuk saling menguatkan, biarpun tiada orang yang akan menilai kita tapi kita tetap yakin bahawa Allah tidak pernah alpa terhadap perbuatan hambanya. Justeru, ayuhlah sama-sama kita koreksi diri, melihat sejauh mana kita memanfaatkan musim cuti. Adakah kita tergolong dalam lumrah kebiasaaan masyarakat biasa atau kita melaluinya dengan mujahadah menjadi individu yang luar biasa?
Marilah sama-sama membina kecemerlangan diri dengan memanfaatkan anugerah masa lapang yang Allah kurniakan sebaiknya dengan memperkemaskan hubungan dengan Allah. Mempertingkatkan keimanan dengan amal-amal soleh dan mengisinya dengan perkara-perkara keimanan. Ini kerana, dengan keimanan inilah, membuatkan manusia mampu menjaga dirinya walau dia berseorangan, mampu mempertingkatkan diri walau payah, mampu bersikap amanah walau tiada yang mengetahui, mampu memperhebatkan amal walau tiada manusia yang menilai.
Firman Allah S.W.T :
”Hai orang-orang yang beriman,bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkara yang benar, nescaya Allah memperbaiki bagimu amal-amalmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar” (Al-ahzab 70-71)
Suka untuk ana kongsikan di sini antara perkara-perkara yang perlu kita berikan perhatian dalam mengisi masa cuti yang panjang :
1)Memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan tadabbur. Selalunya di musim-musim kuliah kita sering kali dikekang oleh faktor masa. Al-Quran acap kali kita baca sebagai memenuhi routine seharian sebagai mukmin. Justeru, semoga dengan anugerah masa lapang yang Allah berikan, kita beroleh kesempatan untuk meningkatkan lagi penghayatan dan kefahaman kita terhadap tuntutan ayat-ayat yang dibaca.



2) Melatih diri melaksanakan ibadah-ibadah sunat dan qiamulail. Masa yang banyak seharusnya memungkinkan kita untuk melatih diri melaksanakan ibadah-ibadah sunnah yang lainnya. Qiamulail sebagai contohnya merupakan pendidikan rohani yang perlu sentiasa diberi perhatian. Qiam mampu melahirkan kekuatan iman yang tidak mungkindihasilkan oleh ibadat-ibadat sunat yang lainnya. Dalam sebuah hadith diriwayatkan, bahawa Tsauban pernah bertanya kepada Rasulullah tentang amal yang dapat memasukkannya kedalam syurga atau amal yang paling disukai Allah, maka Nabi bersabda kepadanya :
Kamu harus banyak sujud kepada Allah, kerana sesungguhnya tidaklah kamu melaksanakan sekali sujud kepada Allah, melainkan Allah meninggikan bagimu satu darjat kerananya dan menggugurkan darimu satu kesalahan.” (HR Muslim, Ahmad, Tarmidzi, Nasai’ dan lain-lainnya)



Ada juga antara kita, semasa bersama sahabat-sahibah di musim kuliah, qiam dan ibadah sunnah seperti puasa telah menjadi routine yang diprogramkan. Kadang-kadang terasa mudah dan ringan untuk dilaksanakan kerana semua orang pun melaksanakannya. Justeru, marilah berusaha untuk terus melazimi malah meningkatkan kualiti ibadah-ibadah sunnah dan qiamulail kita.
3) Menyelusuri sirah generasi awal dengan memperbanyakkan membaca buku-buku sirah. Membaca sirah perjuangan para sahabat dan tabiin yang zuhud dan soleh mampu menumbuhkan kezuhudan dan membina kekuatan di relung hati untuk terus bergelumang dan membanting tulang dalam kerja-kerja da’wah. Menghayati kisah dan cara hidup mereka akan mampu mendidik jiwa untuk gemar melakukan qiyamullail, shaum sunnah, zikir, berdo’a, khusyuk dan menangis karena takut Allah SWT. Mendalami sirah para sahabat yang gemar bertaubat dapat menumbuhkan benih-benih taubat dalam hati kita, selain membuka pintu-pintu air mata penyesalan pada diri yang tadi tidak kenal menangis karena takut Allah SWT. Selain itu, buku-buku fikrah turut perlu di beri perhatian. Manfaatkanlah masa dengan bahan bacaan fikrah dan ilmiah. Janganlah hanya buku-buku novel semata-mata menjadi target untuk di khatamkan sepanjang musim cuti.



4) Mencari dan menambahkan ilmu-ilmu lainnya. Dalam kelapangan masa yang Allah anugerahkan sibukkanlah dengan ilmu yang mampu mempertajamkan akal dan mampu membina sahsiah muslim, sesungguhnya ilmu itu adalah cahaya yang bertapak di dalam hati yang suci. Mahasiswa Islam seharusnya sangat peka dengan ilmu. Setiap kejadian diambil iktibar dan pengajaran. Kita seharusnya, mengambil tahu isu semasa dan setiap kejadian yang berlaku di dunia. Ini kerana, orang mukmin itu orangnya tidak mudah tertipu atau ditipu, tidak mudah terpengaruh dengan unsur-unsur yang negatif , tidak mudah dicorak tetapi mampu mencorak. Jelasnya, hanya dengan ilmulah ciri-ciri diatas dapat dibina. Oleh itu, kita seharusnya memberi penekanan yang serius terhadap ilmu. Nabi Muhammad SAW sendiri memerintahkan agar umat Islam melakukan penelitian dan memandang penting terhadap ilmu pengetahuan, sebagaimana sabda Baginda :
“Barang siapa menghendaki dunia, maka dia harus mencapainya dengan ilmu. Barang siapa menghendaki akhirat, maka dia harus mencapainya dengan ilmu. Dan barang siapa menghendaki keduanya, maka dia harus mencapainya dengan ilmu.”
Sesungguhnya, ruang lingkup kehidupan seorang mukmin adalah luas. Banyak perkara yang boleh kita laksanakan untuk memanfaatkan masa lapang dengan sebaik-baiknya. Perkara-perkara lain yang perlu dititik beratkan adalahdengan memperuntukkan masa untuk memberi manfaat kepada orang lain. Tiada istilah cuti bagi kader-kader dakwah. Anugerah masa yang ada ini seharusnya dimanfaatkan dengan memperkemaskan kerja-kerja dakwah yang dilaksanakan lantaran perhatian yang lebih dapat kita berikan. 


Sebagai anak kita seharusnya mengambil kesempatan cuti untuk berbakti dan meringankan beban kedua ibu bapa. Masa inilah kerja-kerja mengurus rumah perlu diambil alih oleh kita. Selain meringankan bebanan kedua ibu bapa kita juga dapat belajar ilmu-ilmu pengurusan rumah tangga. 
Jangan dilupa tentang kesihatan. Kesihatan dan kekuatan fizikal adalah amanah yang wajib dipelihara. Hindarilah daripada aktiviti-aktiviti yang sia-sia dan merosakkan ketangkasan badan seperti tidur sepanjang hari dan melayari internet sepanjang malam.
 Bersihkanlah diri daripada sifat malas. Islam tidak suka kepada umatnya yang pemalas, hidup goyang kaki bagai orang tiada matlamat. Masa lapang yang Allah anugerahkan perlu kita sibukkan dengan perkara-perkara yang meningkatkan kualiti diri, keluarga dan masyarakat.
Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita untuk menjadikan masa cuti kali ini antara masa-masa yang benar-benar berharga dan bermanfaat dalam hayat kita. Akhir sekali, marilah sama-sama kita berlindung kepada Allah agar dipelihara daripada ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyu’, nafsu yang tidak pernah puas serta pemeliharaan daripada dosa yang telah kita perbuat dan dosa yang belum kita perbuat. Semoga redha Allah sentiasa bersama.



FIKRAH MEMBINA SAHSIAH MURABBI
MAJLIS TARBIYAH NUQABA' 
2011/2012

No comments:

Post a Comment