Followers

Sunday 9 December 2012

Guru & Harapan Kebangkitan Ummah




Tanggal 1 Muharram 1434 Hijrah menjadi saksi suatu lagi episod kekejaman regim Zionis dalam usaha meluaskan jajahan mereka demi merealisasikan gelaran bangsa termulia. Dentuman bom berselang seli dengan tangisan kanak-kanak menyelubungi ‘penjara tersebar di dunia’ ini meskipun negara umat Islam disekelilingnya ceria menyambut awal Muharram. Malah seluruh dunia menjadi saksi episod penjajahan dan kezaliman yang bermula sejak termeterainya Perjanjian Balfour November 1917 sehingga ke hari ini. Peperangan yang dimulakan oleh regim Zionis dengan menjadikan slogan “Pillar of Defense” sebagai alat untuk mengaburi masyarakat dunia. Terbunuhnya Ahmad Said Khalil al-Ja’bari terus menaikkan semangat jihad mujahidin Palestin untuk mempertahankan tanah suci Baitulmaqdis. 


    Sekalung penghargaan kita panjangkan kepada kerajaan Mesir dibawah pimpinan Dr. Muhammad Mursi yang berusaha dengan bersungguh-sungguh membantu saudara seagama yang ditindas dengan pembukaan sempadan Raffah sedikit sebanyak memberi nafas baru kepada Ghazzah untuk mendapatkan bantuan kemanusiaan, perubatan dan lain-lain. Mesir ‘baharu’ bukan sahaja menarik perhatian dunia dengan lantang mengkritik Israel malah turut menjadi perantara kepada gencatan senjata antara Israel-Palestin tanggal 8 Muharram dan disokong oleh Turki, Qatar dan lain-lain.


    Selanjutnya, kita merakamkan ucapan tahniah kepada rakyat Palestin dalam penantian keputusan lebih 65 tahun oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang telah memberikan status negara pemerhati bukan anggota kepada Palestin. Kemenangan diplomatik yang ditunjukkan oleh 138 negara mengundi memihak kepada Palestin untuk menaik taraf status, dengan itu memungkin Palestin juga boleh terlibat dengan pelbagai forum dalam PBB dan di dalam Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

  Siswa-siswi pendidik tidak wajar berdiam diri dengan memekakkan telinga dan memejamkan mata akan isu-isu umat Islam yang berlaku di seluruh dunia meskipun kita hari ini dianugerahkan Allah pelbagai kenikmatan dari sudut pendidikan, peruntukan kewangan (elaun) dan sebagainya. Rasulullah s.a.w bersabda, "Barangsiapa yang tidak mengambil tahu hal orang Islam yang lain, maka bukan dari kalangan kami". 

   Oleh yang demikian, wajarlah semua warga kampus IPG Kampus Pendidikan Islam mengambil cakna akan setiap perkembangan di Gaza, Syria, Arakan, Mindanau dan lain-lain. Juga tidak dilupakan juga saudara kita paling dekat di Fattani Dar as-Salam (Palestin Nusantara) yang saban kali mengalami episod penindasan dan pembunuhan namun mendapat akses berita dan maklumat yang terhad. Akhir sekali, saya menyeru semua organisasi mahasiswa di IPG KPI bersama-sama memberi kesedaran kepada masyarakat kampus untuk menjadikan isu ini sentiasa dijadikan isu bersama yang tidak hanya berlaku secara bermusim.