Followers

Tuesday 16 July 2013

FADHILAT BULAN RAMADHAN


Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda :

"Sudah datang bulan Ramadan, penghulu segala bulan, maka hendaklah kita mengucapkan selamat datang kepadanya. Sudah datang bulan puasa yang membawa segala keberkatan. Maka, hendaklah memuliakan tetamu yang datang itu." - (Riwayat At-Tabrani).

Ramadhan sudah diambang pintu. Semua lapisan masyarakat muslim menyambut Ramadhan, bulan penuh barakah ini dengan kegembiraan, kesyukuran dan suka cita. Wajah-wajah mereka ceria kerana rindu yang mendalam ingin bertemu dengan "Ramadhan Al-Mubarak". Setiap individu muslim itu ingin mengisi hari-hari sepanjang Ramadhan ini dengan amal soleh dan kebajikan, baik berupa solat tarawih, membaca Al-Qur’an, bersedekah, berzikir, membantu saudara sesama muslimin, memberi makan kepada fakir-miskin, anak yatim serta golongan yang memerlukan, menyediakan juadah berbuka puasa, dan sebagainya.





Sahabat yang disayangi, 

bagi menjadikan “Madrasah Ramadhan” ini semakin indah dan bernilai dalam sanubari kita, alangkah baiknya jika kita sendiri mengetahui dan mengkaji serba sedikit mengenai fadhilah dan keutamaan bulan nan suci dan penuh rahmat Allah SWT .

Rasulullah SAW bersabda lagi bermaksud: "Sekiranya manusia mengetahui kebajikan yang terkandung pada bulan Ramadan, nescaya mereka akan mengharapkan Ramadhan berlaku sepanjang tahun." - (Riwayat Ibn Abi Dunya).

1) Bulan Al-Qur’an

Al-Hafizh Ibnu Katsir Ad-Dimasyqiy rahimahullah berkata, "Allah SWT memuji Bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lainnya dengan memilih Ramadhan sebagai bulan untuk diturunkan Al-Qur’an yang agung di dalamnya, sebagaimana halnya, Allah SWT telah mengkhususkan Ramadhan dengan hal itu, maka sungguh ada sebuah hadith yang menyebutkan bahawa Ramadhan adalah bulan yang diturunkan di dalamnya Kitab-Kitab Allah kepada para nabi ". [Lihat Tafsir Ibnu Katsir (1/292)]
Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda :

"Shuhuf Ibrahim diturunkan pada malam pertama Ramadhan, Taurat pula diturunkan pada 7 Ramadhan sementara Injil diturunkan pada 14 Ramadhan. Zabur pula diturunkan pada tanggal 19 Ramadhan dan Al-Qur’an sendiri diturunkan pada 25 Ramadhan". [HR. Ahmad dalam Al-Musnad (4/107), Abdul Ghaniy Al-Maqdisiy dalam Fadha’il Ramadhan (53/1), dan Ibnu Asakir dalam Tarikh Dimasyq (2/167/1). Di-hasan-kan oleh Al-Albaniy dalam Shahih As-Sirah (hal.90)]

2) Bulan Pengampunan Dosa

Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda :

"Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kerana iman dan mengharapkan pahala Allah, nescaya Allah mengampuni dosa-dosanya yang lalu". [HR. Al-Bukhariy dalam Shahih-nya (1802), dan Muslim dalam Shahih-nya (175)]

Abu Hurairah RA berkata bahawa pada suatu hari, Rasulullah SAW naik ke atas mimbar seraya megucapkan, "Aamiin…aamiin…aamiin". Lantas Baginda ditanya, "Wahai Rasulullah, engkau tidak pernah melakukan hal seperti ini". Lalu Baginda menjawab, "Jibril berkata kepadaku, "Semoga celakalah bagi seorang hamba yang didatangi olehnya bulan Ramadhan, namun tidak diberikan pengampunan", maka saya pun berkata, "Aamiin". [HR. Ibnu Khuzaimah dalam Shahih-nya (3/192), Ahmad dalam Al-Musnad (2/246 & 254), dan Al-Baihaqiy dalam As-Sunan (4/204). Di shahihkan oleh Al-Albaniy dalam Shahih Al-Adab Al-Mufrad (646)]

3) Bulan Pengabulan Do’a & Pembebasan dari Siksa Neraka

Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda :
"Jika malam pertama Ramadhan datang, maka syaitan-syaitan dan jin yang dehaka akan dibelenggu, pintu-pintu neraka ditutup. Maka tidak akan ada satu pintu (neraka) pun yang akan dibuka melainkan pintu-pintu surga dibuka. Maka tidak akan ada satu pintu (syurga) pun yang akan ditutup. Seorang pemanggil memanggil, "Wahai pencari kebaikan, menghadaplah; wahai pencari kejelekan, berhentilah". Allah memiliki hamba-hamba yang dimerdekakan dari neraka.

Demikian itu pada setiap malam". [HR. At-Tirmidziy dalam Sunan-nya (682), dan Ibnu Majah dalam Sunan-nya (1642). Hadits ini di shahih-kan oleh Al-Albaniy dalam Takhrij Al-Misykah (1960) ]

4) Di dalam Ramadhan Terdapat Lailatul Qadar

Allah Ta’ala berfirman :

"Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Qur’an) pada malam kemuliaan (Lailatul Qadar). Dan tahukah kamu malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dibandingkan dengan seribu bulan. Pada malam itu, para malaikat, dan Jibril turun dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sampailah terbit fajar". (QS. Al-Qadr: 1-5)

Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda :

"Allah mengurniakan dalam bulan Ramadhan suatu malam yang lebih baik berbandingkan 1000 bulan. Barang siapa yang dihalangi (dari kebaikannya), maka ia akan dihalangi (dari kebaikan)". [HR. An-Nasa’iy dalam Al-Mujtaba (2106), dan Ahmad dalam Al-Musnad (7148 ). Hadits ini dishahih-kan oleh Al-Albaniy dalam Shahih At-Targhib (999)]

5) Umrah Ramadhan Menyamai Haji bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam

Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda :

"Sesungguhnya umrah di bulan Ramadhan menyamai haji bersamaku". [HR. Al-Bukhariy dalam Shahih-nya (1764), Muslim dalam Shahih-nya (1256) Abu Dawud dalam As-Sunan (1988 ) At-Tirmidziy dalam As-Sunan (939), Ibnu Majah dalam As-Sunan (2991). Lihat Shahih Al-Jami’ (7547) karya Al-Albaniy]
Sesiapa yang berpuasa dengan ketaatan dan penuh ikhlas, akan dimasukkan ke syurga melalui pintu khas. Ini dapat digambarkan melalui hadith Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya dalam syurga itu ada sebuah pintu yang bernama Rayyan. Pada hari kiamat kelak akan diserukan dari pintu itu. Di mana orang yang berpuasa? Apabila mereka semua masuk, pintu itu pun ditutup kembali." - (Riwayat Bukhari dan Muslim).

6) Dua kegembiraan yang dijanjikan

Keletihan dan kepayahan yang dirasai seharian berpuasa sehingga sebulan Ramadhan dengan ikhlas kerana Allah, akan berakhir dengan dua kegembiraan, iaitu semasa di dunia dan di akhirat nanti.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan. Pertama, ketika dia berbuka dan kedua, dapat bertemu dengan Allah SWT di akhirat nanti." - (Riwayat At-Tirmizi).


Kesimpulannya, keistimewaan yang banyak ini patutlah kita rebut dengan memanfaatkan setiap detik dalam bulan Ramadhan al-mubarak ini. Orang yang meningkatkan amal ibadatnya dengan penuh keikhlasan, pasti dapat merasai nikmat itu sejak di dunia lagi. Semoga segala perkongsian ini dapat menjadikan kita terus thabat, berazam dan bersemangat dalam menjalani “Madrasah Ramadhan” kelak seterusnya sama-sama menggenggam gelaran “orang yang bertaqwa” di sisi Allah SWT.

No comments:

Post a Comment