Followers

Friday 12 July 2013

PERUTUSAN PRESIDEN MTEN 13/14 SEMPENA RAMADAN 1434H




Alhamdulillah segala puji bagi Allah, betapa besarnya rahmat Ilahi apabila kita dipanjangkan umur sehingga bertemu dengan Ramadhan pada tahun ini. Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Antara Ramadhan ke Ramadhan adalah pengampunan Allah.” 

Di kesempatan ini saya menyeru kepada semua mahasiswa pendidik IPG Kampus Pendidikan Islam terutamanya dan seluruh mahasiswa pendidik IPG lain agar menjadikan Ramadhan ini sebagai bulan menambahkan amalan seharian sebagai seorang bakal guru, hidupkan tadarus al-Qur’an dalam kalangan ahli usrah, dalami ilmu-ilmu berkaitan hukum-hakam puasa dan tunjuklah contoh teladan terbaik seorang pendidik yang bermanhaj rabbani dalam setiap urusannya. Hidupkan majlis berbuka secara berjemaah dalam usrah mahupun kumpulan kecil, tarawikh dan tazkirah di mana-mana ruang yang ada, ambillah kesempatan bersedekah terutamanya memberi makan kepada orang yang berpuasa, kerana Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (menyediakan makanan berbuka puasa) maka ia memperolehi pahala sebagaimana orang yang berpuasa, dan tidak kurang sedikitpun pahala puasanya.”
Buat seluruh warga mahasiswa pendidik IPG KPI: 

1. Ramadan adalah bulan kemuliaan justeru muliakan diri kita sebagai pendidik yang mempunyai iman yang mantap, akhlak yang mulia dan ilmu yang mendalam.

2. Ramadan adalah bulan kebajikan justeru penuhilah tuntutan rukun usrah takaful untuk sentiasa menyantuni sesama ahli usrah mahupun sahabat handai, para pensyarah dan masyarakat sekitar. Banyakkan menganjur majlis berbuka bersama sebagai aset sedekah kita pada bulan yang mulia ini.

3. Ramadan adalah bulan yang penuh barakah lantas elakkan diri kita daripada terjebak ke dalam kancah maksiat dan penuhilah hari-hari Ramadan dengan pesta ibadah bukannya dipenuhi dengan juadah melampau.

4. Ramadan adalan bulan keampunan dan penyucian dosa-dosa lampau justeru banyakan istighfar dan munajat, burulah lailatulqadar agar diri kita benar-benar bersedia untuk menggalas amanah besar sebagai pendidik anak bangsa.

5. Ramadhan adalah bulan memburu piala Taqwa. Justeru itu, lakukanlah segala perintah Allah dan jauhilah segala laranganNya. Piala Taqwa adalah harta yang paling mahal dan berkesan untuk diri seorang pendidik dalam membina umat bahkan senjata utama menangkis tohmahan musuh-musuh Islam. Ingatlah, meraih piala taqwa adalah misi utama kita pada bulan penuh keberkatan ini. Moga takwa menjadi pakaian kita selepas sebulan menjalani “tamrin” dalam bulan ini.



Akhir kalam, jangan dilupai dalam kesenangan kita manjalani ibadah puasa di Malaysia masih ramai saudara seagama kita di Palestin, Afghanistan, Syria, Mesir dan nagara Islam lain yang menempuhnya dalam ketakutan dan serba kekurangan. Jangan sekali-kali abaikan doa untuk mereka lebih-lebih lagi sepanjang Ramadan ini. Tempuhlah bulan Ramadan ini dengan penuh keimanan dan keinsafan demi mecapai objektif utama taqwa Ilahi. Mahasiswa pendidik yang bertaqwa, bersifat rabbani dan berkomitmen tinggi adalah KPI kepada lahirnya anak bangsa bersahsiah mulia. 




“Merealisasi Murabbi Rabbani”


Muhamad Hafizuddin Bin Ramlee

Presiden Majlis Tarbiyah Nuqaba’ 13/14 (MTEN)
IPG Kampus Pendidikan Islam






No comments:

Post a Comment