Followers

Sunday 8 May 2011

MEMAKSIMAKAN KESAN MAJLIS USRAH


Tarbiyyah

Berdasarkan pengalaman, biasanya majlis usrah lebih berkesan untuk meningkatkan ilmu, iman dan amal serta menyeimbang dan mengistiqmahkannya berbanding majlis-majlis pengajaran di masjid-masjid. Tentu saja ia lebih berkesan daripada majlis-majlis yang diadakan sesekali seperti ceramah maulidurrasul, forum perdana, israk mikraj dan lain-lain. Ceramah kadang-kadang memang menaikkan semangat tapi habis ceramah, sebagaimana cepatnya naik sebegitulah cepatnya turun. Lebih baik kuliah bersiri berbanding ceramah. Begitulah kebiasaannya namun ia bergantung juga kepada kecekapan naqib usrah menjayakan majlisnya.


ATURCARA USRAH YANG DISARANKAN

1. Muqaddimah

Naqib membuka majlis dengan kata-kata aluan, bacaan al-Fatihah, suntikan motivasi (agar peserta rasa kehadiran mereka sebenarnya menguntungkan) ataupun lain-lain yang dirasakan sesuai. Fadhail amal sangat sesuai sebagai pembuka langkah. Sangat baik jika naqib mengimbas kembali dapatan-dapatan penting dalam usrah sebelum ini sebagai pengukuhan.

2. Tilawah

Setiap ahli membaca sejumlah ayar al-Quran secara menatapnya sambil disaksikan oleh ahli-ahli lain. Ayat-ayat ini dibaca bersambung-sambung bermula dari surah al-Baqarah dan seterusnya. Selepas semua tamat membaca, perbincangan dibuka, pembetulan dan pemurnian bacaan akan dilakukan bersama-sama terutamanya oleh naqib ataupun ahli yang ada ilmu tajwid.



3. Tadabbur

Naqib ataupun ahli yang tahu akan menyentuh satu dua ayat yang sudah dibaca dalam tilawah tadi dan menghuraikannya ataupun memberi apa-apa refleksi tentangnya. Perbincangan dibuka.

4. Hafazan

Setiap yang ada mempamerkan hafazan mereka sambil disemak oleh yang lain, sama ada ayat-ayat pilihan sendiri ataupun ayat-ayat yang telah ditentukan oleh naqib (ataupun jemaah).

5. Tazkirah

Satu ataupun dua orang ahli yang sampai gilirannya akan menyampaikan tazkirah masing-masing sebagai satu latihan. Perbincangan dibuka.

6. Pengisian

Naqib menyampaikan bahan utama usrah sama ada bahan pilihannya sendiri, bahan yang dipersetujui bersama ataupun lebih baik adalah bahan yang ada dalam sukatan/ silibus usrah sebagimana yang ditetapkan oleh jemaah.

Contohnya buku-buku tertentu, bahan bercetak susunan jemaah, kitab tafsir seperti Fi Zilalil Quran ataupun bahan-bahan utama lain. Oleh kerana masa berusrah terhad, bahan utama ini boleh diselang-selikan pada setiap minggu. Perbincangan dibuka.

7. Hal-hal Lain

Naqib mengumumkan info terkini tentang program-program jemaah. Setiap peserta boleh meluahkan apa saja yang berkaitan seperti isu semasa, hal ehwal usrah, perkongsian masalah, perancangan program dan sebagainya.

8. Penutup

Peringatan-peringatan ringkas, tarikh usrah akan datang dan rumusan usrah kali ini oleh naqib. Ditutup dengan Tasbih Kifarah dan surah al-Asr.

*BONUS

Jamuan ringan jika ada. Sekiranya berusrah di kediaman ataupun bilik, biasanya ‘tuan rumah’ yang menyediakannya. Jamuan tidak termasuk dalam agenda usrah, ia bukan satu kemestian.
Turutan agenda di atas boleh diubah mengikut kesesuaian.

Usrah Yang Kurang Berkesan

1. Naqib tidak membuat perancangan langsung. Pengisian usrah bergantung kepada apa yang terfikir ketika itu.

2. Ahli usrah ramai. Saya cadangkan seorang naqib mengendalikan 3-5 orang peserta sahaja agar setiap individu berada dalam pemantauan si naqib dan perjalanan usrah terkawal lagi lancar.

3. Usrah dijalankan dalam bentuk pengajian seperti di masjid-masjid. Tok guru bercakap dari awal hingga akhir, peserta lebih banyak mendengar.

4. Penglibatan anak buah minima. Bakat mereka tidak diasah dengan tugasan-tugasan sebagai pengisian usrah. Pandangan mereka diminta hanya pada penghujung majlis usrah dan bukannya untuk setiap agenda.

5. Jangka masanya terlalu singkat ataupun terlalu panjang. Terlalu singkat- bateri peserta tidak cukup dicas. Terlalu panjang- peserta bosan dan tidak memberi tumpuan.

6. ‘Wajibat’ (amalan-amalan yang perlu dilangsaikan) tidak diberi penekanan oleh naqib.

Memaksimakan Kesan Usrah

1. Selain naqib, sekurang-kurangnya ada seorang ‘orang lama’ dalam kalangan peserta. Lebih baik jika ‘orang lama’ ini ilmu dan kebolehannyanya lebih kurang ataupun hampir sama dengan ilmu dan kebolehan naqib. Paling tidakpun, dia seorang yang sudah biasa sangat dengan usrah. Orang ini tugasnya sebagai pembantu dan pengukuh kepada naqib serta contoh kepada peserta.

2. Naqib hendaklah memelihara dan meningkatkan kredibiliti diri.

3. Isi usrah yang lalu disentuh sepintas lalu pada permulaan usrah.

‘PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT’

No comments:

Post a Comment