Followers

Monday 27 June 2011

PERUTUSAN PRESIDEN MAJLIS TARBIYAH NUQABA’ SEMPENA MPPB



بسم الله الرحمن الرحيم
الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله واله وأصحابه

Assalamualaikum w.b.t
Tanggal 20 Jun 2011 merupakan tarikh kemasukan pelajar baru ke Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam (IPG-KPI) pada sesi kali ini. Walaupun beberapa kali nama institut ini bertukar daripada Maktab Perguruan Islam (MPI), Institut Perguruan Islam Selangor (IPIS) dan lain-lain namun ianya tetap sama iaitu sebuah kampus yang bakal melahirkan guru-guru yang akan bertaburan di seluruh pelusuk negara menyebarkan ilmu.
Pertamanya, saya mewakili barisan pimpinan Majlis Tarbiyah Nuqaba’, para nuqaba’ dan naqibat mengucapkan sekalung tahniah dan selamat datang kepada adik-adik baru ambilan Jun 2011 ini. Kami sangat mengalu-alukan kedatangan adik-adik semua ke bidang perguruan yang serba mencabar ini. Sesungguhnya anda semua adalah golongan terpilih untuk berada di arena pendidikan ini daripada puluhan ribuan insan lain yang memohon dan ditemu duga. Oleh itu seharusnya adik-adik bersyukur serta menggunakan peluang terbaik ini untuk mempersiapkan diri menjadi pendidik yang benar-benar mampu mengubah suasana haru biru masyarakat sekarang  ke arah yang lebih baik.
Perjalanan sebagai seorang manusia apatah lagi bakal bergelar ‘agen perubah masyarakat’ memerlukan kecekalan dan ketabahan yang tinggi kerana kita akan berhadapan dengan keadaan masyarakat yang semakin ranap dengan kebejatan sosial dan krisis identiti yang semakin merumitkan. Persiapan ‘senjata’ rohani dan intelek dan lain-lain perlulah dipersiapkan dengan menggunakan masa dan ruang yang ada untuk belajar serta menyumbang sesuatu kebaikan kepada agama, bangsa dan negara. 
Buat pengetahuan adik-adik, saya dan sahabat-sahabat lain dalam Majlis Tarbiyah Nuqaba’ (MTEN) sentiasa mendepakan tangan untuk membantu adik-adik dalam pelbagai perkara terutamanya dari aspek kebajikan dan akademik melalui institusi usrah yang direncanakan di kampus ini. InsyaAllah kami akan menyusun program-program yang bermanfaat kepada adik-adik sekalian bagi mencapai visi dan misi institut tercinta ini antaranya untuk melahirkan guru yang berilmu, berketrampilan, berakhlak mulia, berdaya saing dan berjiwa patriotik.
Semoga kehadiran adik-adik sekalian ke kampus ini akan terus menceriakan dan menyuburkan biah Islamiah di kampus ini dengan roh tarbiyah dan dakwah meskipun kita terdiri daripada latar belakang dan pengkhususan yang berbeza. Semoga kita dapat bergandingan bahu dalam memelihara suasana keislaman di kampus ‘KITA’ ini. InsyaAllah.
Salam ukhuwah dan mahabbah dari kami seluruh pimpinan Majlis Tarbiyah Nuqaba’ 2011/2012. Sekian.
MUHAMMAD IZZUL ISLAM BIN HASNI

No comments:

Post a Comment