Followers

Thursday 30 June 2011

Taqwa daripada IMTIHAN. Tahniah dan Jom BERSYUKUR.


 Sebagai seorang pelajar Muslim, kita seharusnya sedar akan tujuan dan kepentingan menuntut ilmu. Wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah S.W.T. kepada Nabi Muhammad S.A.W. adalah “Iqra’” yang beerti baca, menunjukkan kepentingan ilmu, demi membebaskan kita daripada belenggu kejahilan.

   Kita sepatutnya niatkan menuntut ilmu adalah kerana Allah, belajar untuk memperoleh ilmu, bukan mendapatkan ijazah semata-mata. Bukanlah ingin mengatakan keputusan itu tidak penting tetapi usaha itu yang lebih Allah pandang. Baik usahanya, insyaAllah baik keputusannya.

   Sunnatullahnya, apabila kita lapar, kita perlu makan untuk hilangkan kelaparan itu. Begitulah juga apabila kita ingin berjaya dalam peperiksaan, kita perlu belajar. Namun, satu yang perlu kita ingat adalah orang yang tidak belajar sudah pasti tidak akan dapat menjawab soalan peperiksaan sebaiknya manakala orang yang belajar belum tentu akan dapat menjawab soalan peperiksaan dengan sebaiknya.


    Kita perlu yakin bahawa semua adalah kerana keizinanNya. Berapa ramai mereka yang sudah belajar bertungkus-lumus tetapi ketika waktu peperiksaan, mereka gagal menjawab dengan baik. Adakalanya kerana kecuaian, lupa, blank, tidak cukup masa dan sebagainya. Adakalanya sudah menjawab dengan baik tetapi keputusan masih belum memuaskan.

    Kita sebagai pelajar Muslim sepatutnya berasa beruntung kerana mempunyai Allah S.W.T. sebagai tempat pergantungan. Apabila kita yakin adanya Allah S.W.T., kita tidak akan mudah berasa lemah dan berputus asa. Kita yakin Allah yang mengizinkan segala sesuatu itu berlaku, jadi kita haruslah memohon kepadaNya agar kita dipermudahkan untuk faham apa yang kita pelajari serta memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Apabila kita berusaha, hasilnya tidak semestinya keputusan peperiksaan yang cemerlang tetapi mungkin sesuatu yang lain kerana Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita.

    Sahabat-sahabat yang dikasihi, janganlah kita hanya mencari Allah ketika kita susah, ketika peperiksaan semakin hampir, seperti mengharapkan magik berlaku. Allah itu bukan doktor, yang kita cari apabila kita sakit. Allah itu bukan pensyarah, yang kita cari apabila kita tidak faham tentang sesuatu pelajaran. Allah itu segalanya dan yang utama buat kita. Tanamkan dalam diri, jika kita ingat Allah ketika senang, nescaya Allah akan ingat kita waktu kita susah.

“Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina”.”
(Surah al-Mu’min, ayat 60)



  Sahabat-sahabat yang dikasihi, kita perlu tanamkan dalam diri sifat qanaah iaitu rasa cukup dengan apa yang Allah kurniakan. Jika kita tidak mampu bersyukur dengan nikmat yang sedikit, mustahil kita akan mampu untuk bersyukur dengan nikmat yang banyak.

    Kita juga perlu memahami konsep istidraj iaitu nikmat yang Allah kurniakan kepada orang yang berbuat maksiat serta menangguhkan balasannya. Contonya, Si A adalah seorang pelajar yang selalu tinggal solat, tak hormat pensyarah dan ponteng kelas tetapi dia masih berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang. Jangan kita salahkan Allah dengan hal yang sedemikian kerana Dia Maha Berkuasa atas sesuatu. Cuma, tanyakan pada diri, yang mana satu pilihan yang kita mahu, kejayaan dengan redhaNya atau pun kejayaan dengan murkaNya?

    Kita sepatutnya positif dengan segala aturan dan ketentuan Allah S.W.T. Dia memberikan kita kegagalan kerana ingin mengajar kita supaya tidak mudah berputus asa. Orang selalunya tidak akan menghargai nikmat kejayaan jika tidak merasai kegagalan. Mungkin juga belum masanya untuk kita berjaya, bukannya kita gagal. Yakinlah, Allah telah menyediakan sesuatu yang lebih baik. Bersangka baiklah dengan Allah dan teruskan berdoa kepadaNya!

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” 
(Surah al-Baqarah, ayat 186)

     Justeru itu, saya ingin mengajak sahabat-sahabat semua untuk merasa diri kita adalah hamba, yang tak mampu berbuat apa-apa dengan nikmat dan rahmat Ilahi. Bergantunglah sepenuhnya kepada Allah. Mohon padanya setiap waktu agar dipermudahkan segala urusan kita. Solatlah 5 waktu itu sebagai keperluan, bukan hanya sekadar menunaikan kewajipan. Belajarlah apa-apa jurusan pun sebagai keperluan bukan sekadar ingin bergelar graduan.

     Dunia tidak salah, selagi kita memburunya dengan niat untuk beribadah. Kita jadikan dia alat untuk memburu kebahagiaan akhirat. Kita tidak sepatutnya terpedaya dengan dunia yang fana, menjadi hamba dunia kerana kita adalah hamba Allah. Letakkan dunia di tangan, bukan di hati kita.

Perubatan Zaqaziq 

No comments:

Post a Comment